Jumaat, 5 Disember 2014

Aku jadi Penoreh (My life)


Aku hilang pencarian dari perkerjaan lama.  Pekerjaan  ku yang selama ini yang jadikan aku hidup mewah telah hilang. Aku kena cari kerja lain demi memenuhi keperluan hidup. Aku kena dapatkan wang  secukupnya untuk keperluan  anak-anak. Ada anak yang bersekolah  mahu atau tak mahu, belanja anak kena disedia setiap hari. Misti.

Tinggal dikampung. Kalau ada kerja  pun, kerja kampung lah. Dalam keadaan sekarang, baru aku sedar sebenarnya. Aku orang kampung  yang tak tahu langsung kerja kampung. Seingat aku, aku tidak pernah  bercucuk tanam pun, aku tak pernah menebas pun, Aku tak pernah bantu  ibubapa dalam kerja-kerja bertani. Kalau ada pun, masa kebun ayah banyak pokok kopi. Aku tolong petik. Masa kebuh ayah banyak pokok lada hitam. Aku tolong kutip buahnya. Tolong ayah ibu  punggah dan kumpul tandan-tandan pisang untuk dijual. Musim durian hanya tolong pungut dan jual buahnya.

Aku perlu sumber keawangan dalam kadar segera. Perlu.  Suami ku pernah kerja menorah getah. Waktu  itu  kebetulan  banyak kebun-kebun getah terbiar dikawasan kampung. Tiada pun orang kampung yang buat kerja menorah waktu itu . Aku dan suami  mengambil keputusan  memajak  kebun getah orang kampung dan menjadikan menoreh getah sebagai punca pendapatan.

Bermulalah kehidupan aku sebagai  penoreh getah.  Mula-mula “ Buka Plan”  rasa nya  itu sebutan  ketika  kali pertama  menoreh batang getah.Pasang “sudu”(supaya susu getah mengalir kemangkuk). masa ni juga  memasang dawai  untuk  meletakkan  mangkuk  getah (Mangkuk plastic warna hitam, yang dibahagian bawahnya lebih kecil dari bahagian atas. Mangguk tersebut diletakkan di atas bulatan dawai). Dawai ni direka khas dan digunakan  untuk  meletak mangkuk, ada juga yang memanggil cawan getah.

Selama  ini aku  hanya  melihat sahaja, berbagai bentuk/ jenis parang  yang ayah aku  ada. Hanya sekarang  baru aku tahu  bentuk-bentuk parang itu rupanya direka untuk  kegunaan tertentu . Parang  yang agak pendek untuk menebang batang pokok, parang  panjang  untuk menebas   pokok-pokok   kecil. Waktu ini juga aku belajar cara-cara menebang pokok besar, mencantas  batang-batang buluh dan menebas semak samun.

Aku tidak pernah tahu sedikit pun tentang kerja-kerja menoreh sebelum ini. Aku tidak pernah melihat, apa lagi menoreh. Ada pun seingat aku. Aku pernah mengikut Ibu/bapa ku mengutip susu getah ketika itu umur aku angaran  empat atau lima tahun. Aku ingat suatu hari aku jatuh ketika bawa susu getah. Rambut ku  dipotong kerana getah telah mengeras dikepala ku. Aku suka duduk berenjuk didahan getah dekat pondok  tempat Ayah proses getah. Disitulah aku lihat bagaimana Ayah ku buat getah keping.

Aku dan suamiku pergi  kekebun getah seawal tujuh pagi dan pulang setelah habis menoreh pohon-pohon getah dikebun yang dipajak. Merasa  kerja-kerja menoreh  getah bukan kerja sukar, Aku tambah keluasan tempat menoreh dengan memajak lebih banyak tempat lagi. Aku dan suami telah memajak berbelas-belas ekar tanah kebun getah.

Menjadi rutin harian, pergi kekebun seawal tujuh pagi, pulang sebelum waktu Zohor, jika belum habis pokok getah ditoreh, akan akan disambung sebelah petang. Kalau  dilihat seperti hari mahu  hujan selepas waktu menoreh,  akan diusahakan meletakkan sedikit cuka supaya susu getah cepat beku.

Punca keluarga ku berhijrah kekampung  ini. Kerana getah. Semasa tinggal diutara semenanjung, dikawasan  tanaman padi. Sementara menunggu  padi masak, petani biasanya akan mencari kerja sambilan ditempat lain. Ayah dikhabarkan di kampung ini banyak pokok getah yang boleh dipajak. Ayah terus saja kesini. Ayah sangat bernasib baik  kerana Ketua kampung  masa tu bermurah hati dan membenarkan ayah  memajakkan tanah kebun getahnya. Sejak itu keluarga ku berpindah dan tinggal disini.

Dulu seingat aku. Hari gelap lagi, ayah dah pergi menoreh getah. Sebelum tengahari telah siap semuanya. Dulu, lepas toreh getah, susu getah yang terkumpul dalam mangkuk getah dimasukkan dalam timba/bekas dan dibawa ketempat proses getah.  Susu getah akan ditapis semasa dimasukkan kedalam takung getah. Buih dipermukaan takung dikeluarkan.  Cuka  dicampur dengan  susu getah supaya beku. Satu takung/bekas susu getah dijadikan satu keping. 

Waktu  itu  ayah gunakan satu takung kayu yang besar(Dibuat khas sebagai tempat takungan untuk proses pembekuan getah)  untuk  isi susu getah. Ayah tuang susu getah hingga hampir penuh sambil tapis supaya tiada daun, ranting atau benda asing  dalam susu getah. Campur dengan cuka. Kepingan papan  digunakan ,sebagai pembahagi. Susu getah dalam takungan papan besar itu dijadikan dua puluh bahagian. Setiap bahagian dijadi sekeping getah.

Hasil dari kerja menoreh getah Ayah  menyara keluarga dan dan kamudiannya membeli  sebidang tanah  yang ada rumah yang boleh terus didiami. Kami sekeluarga berpindah dari rumah sewa ke rumah dan tanah ayah baru beli. Ayah berhenti menoreh getah dikebun Ketua Kampung. Dari hasil jualan getah juga  Ayah buka  kedai runcit dan membeli sabuah motorsikal.

Banyak pekara yang aku tempuhi , banyak pekara yang aku pelajari sewaktu memegang jawatan sebagai penoreh getah ni. Biar tempuh tidak selama mana pun, rasanya tak sampai  pun setahun.  Banyak peristiwa yang aku alami. Banyak pekara menjadi ingatan sampai bila-bila.

Masa itu baru pernah lihat  pacat yang besar  dan kenyang,sekenyang-kenyangnya  melekat di kaki. Melihat biawak merangkak  dalam kebun. Melihat himpunan babi mencari cacing. Melihat kumpulan beruk  bising diatas pokok. Bermacam macam jeris serangga. Himpunan ulat gonggok yang banyak dan berbagai.

Sepanjang aku pulang kekampung, waktu ini adalah waktu yang paling sukar bagi aku. Aku tidak dapat sempurnakan keperluan hidup yang aku rasa sepatutnya. Apa yang aku  alami memberi tekanan  berat keatas diri aku. Aku hilang keyakinan diri ,aku hilang kepercayaan pada diri sendiri, aku menyesali apa yang berlaku. Aku rasa amat rendah diri yang amat sangat. Aku rasa bersalah yang amat sangat. Aku sangat sedih melihat dan mengenang keadaan yang terpaksa ditempuhi oleh anak-anak ku.

Semenjak aku tinggal disini, waktu dalam kepayahan ini lah aku mula kenal makanan kampung. Aku mula kenal dan makan  pucuk cemperai, pucuk paku merah, kemahang(Sulur keladi) mula tahu mencari pucuk paku, daun selum, rebung dan berbagai tumbuhan yang tumbuh meliar dikawasan pinggir hutan. Mencari ikan sungai untuk dijadikan lauk. Mula pandai mencari siput sedut. Mula belajar makan dan masak siput gondang (Tak pasti namanya, siput besar itu hidup dalam kolam).

Telah diduga dengan kekecewaan hilang perniagaan, menjadi penoreh getah, menjalani hidup dengan bebanan /tekanan  perasaan, tidak dapat saimbangkan pendapatan dan keperluan. Menjadi bahan hinaan dan sendaan. Dipersalahkan atas apa yang berlaku. Bertambah lagi musibah. Seperti jatuh ditimpa tangga, nasib tidak baik datang bertimpa-timpa.

 Suami  mendapat demam malaria. Ditahan di hospital  dalam tempuh yang  lama dan berulang-ulang. Suami tidak tahan dengan gigitanya nyamuk. Sedangkan ditempat menoreh terlalu banyak  nyamuk. Biarpun ubat nyamuk sentiasa dipasang dan diikatkan dipinggang. Nyamuk masih datang menggigit.

 Setelah keluar dari hospital  suami tidak boleh buat kerja-kerja berat. Sementara menunggu suami sembuh sepenuhnya. Tempat  aku menoreh getah telah diberikan pada orang lain oleh tuannya. Berhentilah aku dari jadi saorang penoreh getah.  Pekerjaan yang banyak memberi pengajar dalam hidup 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan